Thursday, February 12, 2009

PERMATA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH


PERMATA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH : Peserta tunggal lelaki Universiti Malaysia Sabah saudara Linus Nicholas menceriakan nama UMS apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Sukan Olahraga Universiti Asean (SUA) yang diadakan di Bukit Jalil, Selangor pada 11 – 21 Disember tahun lalu.

Bertanding dalam kejohanan sukan olahraga, jaguh muda berusia 22 tahun itu memenangi pingat perak dalam acara merejam lembing dengan jarak rejaman 56.28 meter sekaligus memadamkan rekod lama yang dipegang oleh saudara Lim Boon Huat yang telah dicipta oleh beliau pada temasya sukan Universiti Asean di Negara Brunei pada tahun 1996. Pengalaman yang ditimba semasa mengadakan sesi latihan akhir di Gold Cost, Australia terbukti dapat meningkatkan prestasi beliau semasa kejohanan tersebut.

Dalam kejohanan yang sama, seorang lagi wakil atlet UMS iaitu saudari Fiona Jane Francis merupakan pemenang pingat emas dalam acara 100 lompat pagar wanita MASUM 2008 hanya berpuas hati masuk ke pusingan akhir. Beliau mengalami kecederaan lutut semasa mengadakan sesi latihan di Australia menyebabkan sukar untuk melakukan larian yang lebih pantas.

Sementara itu, saudari Nadia Sofie Sohaimi, peserta muda harapan Universiti telah memenangi pingat perak dalam acara sukan golf berpasukan. Seorang lagi peserta wanita UMS turut menyumbangkan pingat gangsa dalam acara sukan Taekwondo individu menerusi saudari Rosliza Anita Jumar. Anita yang bertanding dalam kategori Fly weight tewas di peringkat separuh akhir kepada peserta daripada Indonesia.

Secara keseluruhanya, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan semasa temasya SUA dengan mengumpul 216 mata jauh mendahului pesaing tempat ke 2 iaitu Negara Vietnam dengan kutipan 96 mata sahaja. Malaysia memperolehi 90 pingat emas, 79 pingat perak dan 47 pingat gangsa.

No comments:

Post a Comment