Thursday, February 12, 2009

NETBALL @ UMS

BENGKEL ASAS KEPENGADILAN BOLA JARING


Pada 31hb Januari hingga 1hb Feb 2009 yang lalu, Unit Sukan & Rekreasi UMS dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Sabah (SABANA) telah menganjurkan Bengkel Asas Kepengadilan Bola Jaring bertempat di Kompleks Sukan UMS. Kursus yang dikelolakan oleh Cik. Jessy Liew, Penolong Pegawai Belia dan Sukan UMS ini diadakan selama dua hari dan disertai oleh telah menarik minat 18 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMS. Kursus ini juga telah menempah sejarah apabila terdapat peserta lelaki yang mengambil bahagian.

Penganjuran bengkel ini bertujuan memupuk dan mencungkil bakat di kalangan pelajar dan kakitangan UMS yang berminat dan berkebolehan untuk terlibat dalam bidang kepengadilan dan kejurulatihan bola jaring. Ini akan membantu penganjuran kejohanan bola jaring di dalam UMS khasnya dan Negeri Sabah amnya. Ini terbukti melalui pengenalpastian beberapa peserta yang boleh diketengahkan dalam bidang teknikal dan kejurulatihan bola jaring. Selain itu, instruktur yang berpengalaman daripada Persatuan Bola jaring Sabah turut memberikan keyakinan dan informasi yang amat berguna berkaitan bidang teknikal dan kejurulatihan. Bengkel sebegini akan diteruskan di masa-masa akan datang dalam usaha melahirkan lebih ramai penglibatan dalam sukan bola jaring di UMS ini.

FUTSAL @ UMS

4 Kakitangan UMS Cemerlang di
Kejohanan Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2008/2009


Kota Kinabalu: Kejohanan Futsal Kebangsaan Anjuran Felda dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang di adakan di Kuala Terengganu pada 19 -21 Disember 2008 yang lalu dan di Johor Baharu pada 9 – 12 Januari 2009 telah membawa tuah kepada pasukan Sabah apabila dinobatkan sebagai Juara Kumpulan F dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 10,000.00 sebagai wang kemenangan dan layak untuk bertanding di Peringkat Kejohanan Futsal Kebangsaan pada 16 – 19 Januari 2009 di Felda Trolak, Perak. Pasukan Sabah yang cemerlang ini telah diperkuatkan dengan kehadiran tiga orang kakitangan Universiti Malaysia Sabah iaitu Azman Soaibah, Ardi Sida dan Austin Orou.

Lebih membanggakan lagi pasukan Negeri Sabah ini adalah di bawah bimbingan dan kendalian Ketua Jurulatih En. Mohd Asyraaf Abdullah yang juga merupakan Ketua Unit Sukan UMS. Berbekalkan pengalaman dan pemegang lesen Kejurulatihan Kebangsaan Lesen`A’ dan Lesen Kejurulatihan Antarabangsa beliau telah berjaya melakar sejarah pertama Negeri Sabah sekaligus merangkul gelaran.

Komitmen dan usaha gigih selama 2 bulan menjalani latihan memberi kesan yang positif dari segi mental dan fizikal pemain dalam menghadapi saingan hebat pasukan Johor, Kedah dan tuan rumah Terengganu. Pada saingan kumpulan F, pasukan sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang di mana telah memenangi 3 perlawanan, seri 3 perlawanan sekaligus mengumpul sebanyak 12 mata.

PERMATA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH


PERMATA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH : Peserta tunggal lelaki Universiti Malaysia Sabah saudara Linus Nicholas menceriakan nama UMS apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Sukan Olahraga Universiti Asean (SUA) yang diadakan di Bukit Jalil, Selangor pada 11 – 21 Disember tahun lalu.

Bertanding dalam kejohanan sukan olahraga, jaguh muda berusia 22 tahun itu memenangi pingat perak dalam acara merejam lembing dengan jarak rejaman 56.28 meter sekaligus memadamkan rekod lama yang dipegang oleh saudara Lim Boon Huat yang telah dicipta oleh beliau pada temasya sukan Universiti Asean di Negara Brunei pada tahun 1996. Pengalaman yang ditimba semasa mengadakan sesi latihan akhir di Gold Cost, Australia terbukti dapat meningkatkan prestasi beliau semasa kejohanan tersebut.

Dalam kejohanan yang sama, seorang lagi wakil atlet UMS iaitu saudari Fiona Jane Francis merupakan pemenang pingat emas dalam acara 100 lompat pagar wanita MASUM 2008 hanya berpuas hati masuk ke pusingan akhir. Beliau mengalami kecederaan lutut semasa mengadakan sesi latihan di Australia menyebabkan sukar untuk melakukan larian yang lebih pantas.

Sementara itu, saudari Nadia Sofie Sohaimi, peserta muda harapan Universiti telah memenangi pingat perak dalam acara sukan golf berpasukan. Seorang lagi peserta wanita UMS turut menyumbangkan pingat gangsa dalam acara sukan Taekwondo individu menerusi saudari Rosliza Anita Jumar. Anita yang bertanding dalam kategori Fly weight tewas di peringkat separuh akhir kepada peserta daripada Indonesia.

Secara keseluruhanya, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan semasa temasya SUA dengan mengumpul 216 mata jauh mendahului pesaing tempat ke 2 iaitu Negara Vietnam dengan kutipan 96 mata sahaja. Malaysia memperolehi 90 pingat emas, 79 pingat perak dan 47 pingat gangsa.

Wednesday, February 11, 2009

ROWING @ UMS

KURSUS ASAS ROWING UMS 2008

Januari 2009 membuka lembaran baru kepada dunia sukan Universiti Malaysia Sabah khususnya dan negeri Sabah umumnya dimana bertempat di Lagoon Park, Karambunai, bertarikh 24 dan 25 Januari 2009, buat pertama kalinya dalam sejarah seramai 60 orang yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, wakil Persatuan Kenu Negeri Sabah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah mengikuti Kursus Asas Rowing (Mendayung) 2009.

Para peserta kursus juga amat bertuah dengan kehadiran tenaga pengajar daripada Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA) dimana Presiden PERDAMA sendiri Hj. Abdul Malik Hj. Abdul Ghani, Setiausaha Agung PERDAMA En. Hasnul dan Ketua Jurulatih PERDAMA En. Halim telah sudi untuk meluangkan masa dan berkongsi pengalaman dan kemahiran mereka untuk menjayakan kursus yang julung-julung kali diadakan ini.



Kursus ini juga akan menjadi titik permulaan bagi UMS untuk menghantar pasukan rowing didalam temasya sukan MASUM, Uniten Rowing Invitational dan juga ASEAN Varsity Boat Race yang merupakan 3 acara tahunan sukan rowing didalam kalender sukan rowing di Malaysia.

Ketua Unit Sukan & Rekreasi UMS, En. Asyraaf Abdullah di dalam ucapannya ketika Majlis Penutupan Kursus menyeru agar para pelajar UMS dapat melibatkan diri di dalam sukan ini secara serius dengan melihat kepada kesungguhan UMS untuk mengeluarkan sejumlah peruntukan yang besar untuk menjadi Universiti pertama di Malaysia yang memiliki Rowing Competition Boat daripada jenis “Boat Eight (8+). Beliau juga berharap dengan kehadiran sukan rowing di UMS khususnya dan negeri Sabah amnya, UMS akan dapat memeriahkan dunia sukan rekreasi dan seterusnya melahirkan atlet, jurulatih dan juga pegawai di dalam sukan rowing yang mampu mencapai kecemerlangan baik diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa.